Tuesday, May 30, 2017

Melewati Bumi Bursa - 28/4/2017

(Kemenangan Badar itu) kerana Allah hendak membinasakan satu golongan dari orang-orang kafir atau menghina mereka (dengan kekalahan), supaya mereka kembali dengan hampa kecewa. (A-li'Imraan 3:127


Walaupun semalam kami tiba di Hotel Celik Palas jam 8 lebih, pagi ni 7.30am dah kena bergerak menuju destinasi seterusnya. Makanya, bersarapanlah selepas jam 6.30am selepas beg2 sudah diletakkan berhampiran bas. Hanya ini sarapan aku pagi ni. Alhamdulillah. Yang lain tidak menyelerakan dan menarik minat aku sebab banyak sangat sayuran/salad/ulam. Kulihat hijauuuu saja di sana sini. 

Sementara menunggu bas hendak bergerak, sempat juga meninjau2 laman hotel. Mengikut kata kawan aku, bunga yang atas tu namanya pansy. Dan yang kiri bawah viola. Dua2 jenis bunga ini dari famili yang sama. Yang besar tapak tangan tu kalau tak kenal tak tahulah. Harum sangat. Bunga2 ni semua mengingatkan aku pada Tucson, Arizona yang mudah didapati bila musimnya tiba terutama di kawasan kampus. Huhuhu.. terkenang semasa lalu, hatiku menjadi rindu.


Al Ilmi! Jom! Jom! Jerit si Omer dengan slang Turki. Apa lagi, jom kita. kalau lambat nanti, lari daripada jadual. Pi mana pulak drebar ni? Dok masukkan beg dalam bas lagi kut. Bas dia (dia punya ke syarikat punya ke?) memang bersih sangat. Tengoklah lantainya, parket kayu tu. Dan Omer pun sudah ingatkan supaya menjaga kebersihan bas. Nanti driver marah kalau kotor atau sampah2 tidak dibuang. 


Destinasi pertama hanya 6-10 minit dari hotel. Alhamdulillah dekat, kurang sikit sakit buntut lama2 duduk dalam bas hahaha. Ulu Cami (Cami - jamek = masjid). Kalau tengok binaannya, daripada bongkah2 batu yang besar. Mengikut kata Omer (aku ingat dan faham sikit2 saja) dan hasil carian di internet, masjid ini juga yang dikenali sebagai Grand Mosque merupakan masjid terbesar di Bursa. Dibina antara 1396-1399 atas perintah Sultan Bayezid 1 pada zaman pemerintahan kerajaan Ottoman. Masjid ini mempunya 20 kubah dan 2 menara.


Wahhh! Lihat siapa di sana sedang berwuduk itu? Jom pi dekat sikit kita zoom. Hihihi.. zoom gambar paip air je pun. Dan terompah2 berukir yang disediakan di situ. Nak zoom orangnya buat apa? Dah tahu dah itu Hj.Mad dan En.Suami.

Engkau tidak berhak sedikitpun (wahai Muhammad) dalam urusan (orang-orang yang ingkar) itu, (kerana urusan mereka tertentu bagi Allah), sama ada dia menerima taubat mereka ataupun Ia menyeksa mereka; kerana sesungguhnya mereka itu orang-orang yang zalim. (A-li'Imraan 3:128)
 

Masa yang diberi sudah mencukupi untuk kami solat tahiyatul masjid dan solat dhuha di sini. Selesai solat, masih punya masa untuk mengambil gambar interior masjid. Dalam masjid ni dah tak perlu aircond sebab terasa sejuk semulajadi. Salah satu sebabnya aku pasti binaan daripada bongkah2 batu besar tadi menyumbang kepada rasa nyaman dan dingin di dalam masjid.

 

Di tengah2 ruang masjid terdapat satu pancutan air di mana para jemaah boleh berwuduk di situ. Kubah di atasnya pula jelas menampakkan langit. Katanya bila hujan, air hujan akan menitik terus masuk ke kolah pancutan air ini. Tertanya2 pulak aku, tak tempias ke lantai sekitar ke kalau air hujan masuk? Yang nyata, berada di dalam masjid ini tidak memerlukan kipas atau aircond  langsung.
 
 

Selesai lawatan di Ulu Cami, kami bergerak ke Yesil Cami, kira2 10 minit perjalanan. Di luar pintu masuk terpahat Yesil Cami, 15 Yuzyil (yuzyil = abad). Masjid ini diperintahkan dibina oleh Sultan Mehmed 1 Celebi. Ia disipakan pada Disember 1419 ataupun Januari 1420. Pernah melalui proses ubahsuai akibat gempa bumi 1855.

 

Tengoklah Omer yg begitu bersemangat menerangkan kepentingan masjid ini buat masyarakat Bursa. Seperti Ulu Cami, Yesil Cami juga dibina daripada bongkah2 batu besar, bezanya di sini bongkah tersebut adalah marmar.


Bongkah2 marmar tadi menyejukkan ruang dalam masjid yang juga dikenali sebagai The Green Mosque. Bukan sebab masjid berwarna hijau, tapi disebabkan mosaic/tiles di dalamnya yang berwarna biru kehijauan. Alhamdulillah, sekali lagi kami diberi masa untuk solat sunat di sini.

Dan bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Ia mengampunkan sesiapa yang dikehendakiNya, dan dia menyeksa sesiapa yang dikehendakiNya. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (A-li'Imraan 3:129)


Ini di luar sebelah kiri masjid. Sambil2 telinga cuba mendengar penerangan Omer, mata melilau juga melihat sekitar. tengok jangan tak tengok. Mungkin ini kali pertama dan terakhir ke sini.


Alamak, sejuk angin luar ni. WC mana? WC mana? Tempat wajib ni kalau berhenti di mana2. Nun di hujung pondok tu ada tangga ke WC. Satu Lira sudah pasti. Tapi lepas kita tamat lawatan di sini baru kita pi WC. Sebelum itu mari ziarah kawasan Green Mouseloum. Jaga2, ada penunggu berbulu hitam merayau2 :)


Kawasan makam ini terletak di belakang masjid arah ke selatan. Di dalamnya dibina monumen makam Sultan Mehmed 1 dan kaum keluarganya. Kebanyakkannya bertatahkan marmar biru kehijauan.


Akhir sekali, lawatan di Bursa diakhiri dengan membeli dan belah di kawasan Silk Bazaar. Bursa memang terkenal dengan barangan sutera dan masih terkenal sebagai pusat barangan tekstil utama di Turki. Masuk tengok2 pastu keluar masuk kedai sebelah, hahaha. Tuan kedai pulak boleh cakap Melayu sikit2. Mudah cerita. Dan harga pun lebih murah :)


Makanya, lawatan kami di Bursa berakhir dengan 2 helai shawl, magnet dan sedikit souviner untuk kawan2 di opis. Tidak sampai 100 lira. Kemudian misi mencari bas untuk beberapa minit. Turun bas dekat sini nak balik bas tunggu di bawah sana. Berjalan menyusuri lorong melihat rumah2 yang ada. Al Ilmi! Jom! Jom!

(Sila Google jika mahu maklumat lanjut mengenai Ulu Cami, Yesil Cami dan Silk Bazar)

Sunday, May 28, 2017

Akhirnya Bumi Uthmaniah Aku Jejaki - 27/4/2017

(Ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang-orang yang beriman (untuk menguatkan semangat mereka): "Tidakkah cukup bagi kamu, bahawa Allah membantu kamu dengan tiga ribu tentera dari malaikat yang diturunkan?,"A-li'Imraan 3:124


Inilah tag yang diberi kepada semua jemaah Al Ilmi. Hari mula, semua pakai. Masuk hari2 seterusnya, tag dah simpan dalam bag. Dah kenal muka masing2 atau pun memang malas nak pakai (macam aku hahaha).


 

Dah nampak. Dah nampak. Sajli memutih di puncak2 gunung. Dalam agakan aku, gunung2 di Turki la kut. Agak saja. Manalah tahu rezeki kami nanti untuk main baling2 salji sekejap. Seronok juga kan? 

 

Bila dah landing Istanbul, masing2 dah kelaparan. Buka je la bekal apa yang ada dalam beg tu. Biskut pun jadilah. Cookies K.Arfah bagi pun selesai masa tu juga. Gamaknya kalau nampak nasi masa ni, mau habis dua tiga pinggan ni.

Gambar dari kamera peserta. Saya pinjam ya.
Baiklah. masa untuk memperkenalkan, dua orang yang sangat berjasa kepada jemaah Al Ilmi kali ini. Berbaju hitam itu tour leader kami, Hj.Mad/Ust Mad/Cik Mad Jusoh yang juga merupakan salah seorang founder Al Ilmi. Dia buka mulut je tahu dah asal dari dari Kelate nih. Berkemeja dan wajah ala2 Zain Saidin tu pula Omer (bantai je sebut Omar).Katanya dia ni salah seorang daripada 10 tour guide terbaik di Turki. Tapi memang betul la bagus. Semua dihujung jari dia saja. Sejarah Turki jangan nak kelentong la, memang kepakaran dia. Malah isu2 semasa pun dia memang up-to-date. 


Istanbul yang kami berada la ni adalah sebahagian daripada benua Eropah. Ya.. ini bahagian Turki di Eropah, lewat petang nanti kita akan bergerak ke bahagian Asia. Kita tengok2 dulu dari dalam bas, bandar Istanbul sebelum kita tiba ke destinasi pertama - Bursa. 
Bahkan (mencukupi. Dalam pada itu) jika kamu bersabar dan bertaqwa, dan mereka (musuh) datang menyerang kamu dengan serta-merta, nescaya Allah membantu kamu dengan lima ribu malaikat yang bertanda masing-masing. (A-li'Imraan 3:125

 

Inilah bas kami sepanjang berada di Turki. Bas dengan muatan 50 tempat duduk! Kat Malaysia mana ada kan? Kalau ada mana nak parking? Cer cite cer cite. Bas ni siap dengan free wifi lagi. Memang terbaik la. Sayangnya selepas beberapa hari wifi tak boleh guna. Mungkin kehabisan data sebab banyak pengguna dengan gambar dan klip video yang hendak dikongsi di dalam group. Apa2 pun memang bas ni sangat selesa. Satu ja yang tak best, driver bas tak friendly huhuhu (ker driver yang takut dan terkejut dgn jemaah yang riuh sekampung hahaha). Oh ya. Naik je bas masa keluar dari airport dah ada roti kebab dan air mineral utk kami. Apa lagi, tak tengok kiri kanan dah sebab lapar sangat. Roti liat, kebab tak rasa pedas tak jadi hal. Gigit kunyah telan. Alhamdulillah.

  

Atas ihsan Hj.Mad, dalam keletihan dan kepenatan mengunyah kebab liat tadi, kami diberi peluang melawat Tulip Garden! Yabedabeduuuu. Akhirnya impian nak tengok dan pegang tulip berada di depan mata. Rasa penat jetlag ke apa ke terus hilang masa tu sebab nak tengok tulip punya pasal.


Ok, lavender pun ada hah. Apa lagi? Masa ni la nak posing berdua, mood hanimun orang lama tetap kena layan kan kan. Kalau bawa si Emad, mana ada peluang macamni. Ada je nak nyelit di tengah2 kami berdua. Memang tak kasi can betul dia.

 

Subhanallah. Tulipsssss. Merah maroon  pink putih kuning oren ungu dan macam2 warna dan bentuk ada. Rasa nak golek2 dalam tu ala2 hindustan la pulak. Bila tengok dekat memang nampak macam pokok plastik je. Geram rasa nak cabut satu2 bawa balik. Mengikut Omer, setiap tahun memang kerajaan akan menanam pokok2 tulip ini di sini. Dan karnival tulip ini bermula awal April hingga 5 Mei. Memang rezeki kami tiba di sini pada masa yang sesuai.


Ambil peluang posing berempat dengan geng UiTM pulak. K.Arfah yang jadi peberet si Omar (jangan mara na) dan Leez dari UiTM Tapah. K.Faridah satu opis dengan aku. Dia la yang ajak aku join trip ni. 
Dan Allah tidak menjadikan bantuan tentera malaikat itu melainkan kerana memberi khabar gembira kepada kamu, dan supaya kamu tenteram dengan bantuan itu. Dan (ingatlah bahawa) pertolongan yang membawa kemenangan itu hanya dari Allah Yang Maha kuasa, lagi Maha Bijaksana. (A-li'Imraan 3:126

 

Dari Tulip Garden, di kejauhan boleh nampak jambatan yang menghubungkan bahagian Eropah dan Asia Turki. Lepas ni, jambatan itu la kami akan lalui. 


Jambatan penghubung Eropah dan Asia. Nak sampai ke sini pun amik masa juga sebab banyak kenderaan. Si Omer dok cerita Bhosperus Sea, Marmara Sea dan entah apa sea lagi tak tahulah. Tak dapat nak absorb dah apa yang Omer cerita. Sebab aku rasanya dok nampak katil saja ni. Dan, laparrrr huhuhu. Bila nak sampai Bursa ni? 


Senja dah muncul menandakan maghrib dah menjengah. Subhanallah. Cantik betul bila matahari terbenam. Rasa tak puas melihat matahari turun di balik sana.


Ini aktiviti wajib sepanjang kembara ilmu. Sampai si Omar pun heran sebab kerap sangat kena berhenti. Nak buat camna, cuaca sejuk memang dah satu punca untuk kerap ke WC, hahaha. Ada tandas free, ada berbayar satu lira (dalam RM1.30 sekali masuk!). Siapkan duit kecil ya. Tapi mahal2 pun, tandas di Turki ni semua bersih2 siap ada tisu lagi. Bau tak enak pun kurang. Memang kalah tandas2 di tempat kita :(.



Akhirnya, tiba juga di Hotel Celik Palas, Bursa dalam jam 8 lebih. (Celik = steel, palas= palace). Tak sabar betul nak landing kat katil. Tapi sebelum tu kita makan malam dulu. Sup lentil dan roti, nasi (sekadar mangkuk kecil) bersama beberapa ketul ayam dan salad segar. Gambar pun tak ingat nak ambil dah. Memang standard food Turki sepanjang masa di sana. Hari pertama baru, sedap betul aku rasa makanan tu. Lapar sama kan? Kita tengok esok lusa camna pula.

Friday, May 26, 2017

Kembara Ilmu Turki Bermula - 26/4/2017

(Ingatlah) ketika dua puak dari kamu (pada hari peperangan Uhud itu) terasa lemah semangat (untuk meneruskan perjuangan) kerana takut, padahal Allah Penolong dan Pelindung mereka; dan (jika sudah demikian) kepada Allah sahajalah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal. (A-li'Imraan 3:122
Perjalanan kami hari ini bermula dari tempat kerja. Ya.. hari ini kami masih kerja. Kuliah aku mesti diteruskan demi anak2 murid tersayang (betoiiii aku tak tipu). Alhamdulillah kuliah sebelah pagi sahaja. Petang selepas habis kerja, terus ke airport Bayan Lepas dihantar oleh teman sepejabat, Farah Hayati (thank you Farah.. nanti akak bawa balik ole2 Turki kat Farah ye) sebab rumah dia dengan airport tu 5 minit saja katanya.

Flight AA kami jam 7.15 malam rasanya ok dah utk jumpa ahli rombongan Kembara Ilmu Al-Ilmi ke Turki di KLIA. Malangnya bila pi kaunter nak cek in beg, flight tunda jam 9 mlm dia kata. Ok. Sempat lagi tu nak naik flight kul 2.10am ke Turki. Boleh relax dulu. Solat. Fb, WA, telegram mana yang ada sampai naik boring dah ngadap.



Boarding 1.10 pagi tu. Eytihad 413. Transit Abu Dhabi 3 jam. Sambung boarding 7.50 am ke Istanbul. Macam tak lena ja malam ni kan kan.. OK, balik pada cerita flight delay tadi. Pukul 9 mlm tak ada pengumuman untuk boarding lagi. Aku dah berpeluh ni. Bila pi kaunter,

Aku:         Cik, Flight delay kul 9 tu camna?. Saya ada connecting flight mlm ni.
Encik AA: Ok. Puan boleh tukar flight. Sila berbaris di kaunter ya.

Hah? Dah tanya baru nak habag kata boleh tukag flight? Dah tu suruh berbaris macam ada sorang dua kat kaunter. Aku dah pasengger ke berapa beratur nak tukar flight. Bila sampai turn aku.

Aku:      Sebenarnya flight ni pukul berapa nak sampai? Ada kat mana?
Cik AA:  Tak tau la puan. Flight masih di Singapore.

Apaaaaaaa? Singapore? Abih tu bila nak tiba ni?

Aku:      Oklah. Saya nak tukar flight. (cuba bersabar dan redha ni)
Cik AA:  9.32 ada puan. Puan boleh terus boarding sekarang di pintu sana. Ada cek in luggage?
Aku:       Ada 1.
Cik AA:  Kalau puan boarding flight ni, luggage puan tak ikut sekali ya. Kita tak tau bila luggage puan akan sampai sebab sudah tak sempat untuk tukar luggage ke flight ni.
Aku:      Adoiii. (Aku nak la luggage aku. Takkan nak beli pakaian baru kan sana kut?). Ok..ok. Flight lepas ni pukul berapa?
Cik AA:  10.05 mlm.
Aku:       Boleh tak luggage saya tukar masuk sini?
Cik AA;  Boleh puan. Puan naik yang ni ya? Untuk berapa orang?
Aku:      Ok. Saya amik flight ni utk 2 orang.

Alhamdulillah. Dapat tukar. Bila boarding 10.05mlm belum bergerak. Kapal bergerak 10.35mlm sebab memenuhkan mereka yg delay sama dengan aku tadi. Hujan mula turun. Tapi aku dah berpeluh sebab dalam hati... alahai... babai Turki. Babai K.Faridah. Babai Mekna. Aku tak dapat ikut hampa huwaaaaa.

Tiba KLIA2 11.30mlm. Tunggu luggage, beli tiket tren ke KLIA. Semuanya tergesa2. Tren 12.18 baru bergerak!!! Peluh aku bertambah2 merecik. Kompem dah babai Turki. Aku hanya bermimpi.

Pinjam foto dari fb Al-Ilmi
Peserta seramai 43 orang semua dah ada. Depa dah siap bergambar kumpulan lagi. Tapi aku bersyukur. Alhamdulillah. Pengurusan Al-Ilmi sangat prihatin. Landing saja KLIA2 aku asik dapat panggilan dari staf dia ja. Puan kat mana? Puan kat mana? (nasib baik dia tak tanya puan pi mana, puan pi mana hahaha). Hinggalah kami dah turun tren di KLIA 1 panggilan masih diterima. Sampai saja di kaunter, cek in 2 beg, kaunter pun tutup! Terima kasih petugas2 di kaunter dan Al-Ilmi kerana menunggu kami.

ISTANBULLLL, HAMPA TUNGGU KAMI MAI NA!


Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu). (A-li'Imraan 3:123



Cerah dah. Subuh atas kapal tadi. Akhirnya, 7 jam yang memenatkan, melenguhkan dan mendebarkan akan berakhir sebentar di Abu Dhabi. 3 jam pun jadilah untuk regangkan otot2 dan jalan2 ambil udara luar.



Eh! Itu bukankah stadium Ferrari? Dapat lihat dari udara pun jadilah. Nak masuk memang berangan aja la. Oooo, Ferrari World rupanya, "the world's largest indoor theme park and home to world's fastest rollercoaster." Memang pasti aku tak masuk!



Akhirnya, 7 jam perjalanan tiba ke Abu Dhabi. Hilang sudah kengerian kisah flight AA delay semalam (aku dah konpius malam ke siang sebab dah di dunia lain ni). Sempat berfoto dengan Sarina sebab nak tayang kat geng sekolah kami.


Bukti aku tiba di Abu Dhabi bersama En.Suami. En.Suami masih dengan baju kerja. Aku sempat balik sekejap tukar baju selepas hantar Emad ke rumah adik. Now, keterujaan untuk melihat negara orang pulak. Dari siang ke malam ke siang semula. Dah tak tahu nak beza masa.


Dah nak bergerak pulak. Dah cukup 3 jam, Sambung terbang lagi 4 jam ke Istanbul. Rasa macam dah letih seharian dalam perjalanan. Macamana la orang yang kerjanya asyik travel sana sini? Tak letih ka depa? Atau memang dah immune kut? Aku ni dok pikir bila la nak sampai Istanbul, nak masuk hotel rehat sekejap. Ada masa ke nak rehat? Kita tengok apa jadi nanti bila tiba.

Monday, May 15, 2017

Rumah P.Ramlee

Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika engkau keluar pada pagi hari dari rumah ahlimu (di Madinah), dengan tujuan menempatkan orang-orang yang beriman pada tempat masing-masing untuk berperang (di medan perang Uhud). Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (A-li'Imraan 3:121


Sudah lama aku teringin nak singgah rumah yang satu ini. Apa yang menarik tentang rumah kelahiran P.Ramlee ini. Comel saja rumahnya.  Hanya ada ruang tamu, sebuah bilik dan dapur.
 

Boleh baca ker? Waktu lawatan. Yang atas tu kecik sangat kalau nak baca pun. Masuk percuma. Masa kami sampai ni pun ada 2 buah bas budak2 sekolah buat lawatan di sini. Penuh dalam rumah.
 

Ruang dapur yang pada aku sudah memadai luasnya. Teringat kecik2 dulu bila balik kampung tok sebelah abah, lebih kurang ginilah dapurnya.
 

Berhadapan dengan rumah tersebut ada galeri. Masuk situ memang ghalit sikit sebab nak membaca dari satu cerita ke satu cerita. Kisah perkahwinannya dari mula hinggalah ke kisah kemenangannya di persta Filem Asia.


Kisah2 sebahagian filem lakonannya juga ada di sudut bertentangan. Masuk ke galeri ini paling kurang sejam juga diperlukan jika betul2 hendak mengetahui sejarah tokoh ternama industri filem negara, Tan Sri P.Ramlee.